Dari Amir bin Abdullah bin Zubair r.a dari bapanya katanya:”Apabila Rasulullah s.a.w duduk dalam solat, diletakkannya kakinya yang kiri antara paha dan betis serta menegakkan tumit kanan, meletakkan tangan kiri di lutut kiri, meletakkan tangan kanan di paha kanan dan menunjuk dengan telunjuk.”
( Muslim)
Huraian
Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa umatnya hendaklah bersolat sebagaimana cara baginda mengerjakan solat. Ini memberikan maksud bahawa setiap amalan di dalam solat itu sekalipun tidak dinyatakan secara terang di dalam al-Quran, ia dapat dirujuk pada cara ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w kerana Islam meletakkan bahawa sumber hukum syarak selain daripada al-Quran adalah sunnah dan hadith baginda rasulullah s.a.w yang telah diutus sebagai pesuruh Allah S.W.T untuk menyampaikan ajaran-ajaran-Nya. Oleh itu sebarang pertikaian tentang cara-cara mengerjakan solat hendaklah dirujuk kepada sunnah baginda kerana hal demikian memungkinkan banyak berlakunya percanggahan pendapat. Apa yang penting ialah perkara-perkara yang telah disepakatkan oleh ulama’ (ijma’ ulama’) hendaklah diikuti tanpa ada perselisihan hingga munculnya ajaran-ajaran baru yang jauh menyeleweng daripada sunnah baginda. Contohnya berlaku baru-baru ini, sekumpulan umat Islam yang bersolat berimamkan seorang wanita sedangkan hal sedemikian tidak pernah berlaku sepanjang sejarah.